Search This Blog

8 January 2012

N.9 JOHAN PIALA SUMBANGSIH 2012



Negeri Sembilan membuka tirai bola sepak Liga Malaysia dengan bergaya apabila menjulang Piala Sultan Ahmad Shah buat kali pertama selepas menewaskan juara bertahan Kelantan 2-1 pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Nasional Bukit Jalil malam Sabtu.

Kelantan, yang juga juara Liga Super, menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam musim lepas untuk merangkul piala itu buat kali pertama.

Pasukan 'The Red Warriors' membuka tirai percubaan sejurus empat minit babak pertama bermula menerusi penyerang import barunya musim ini dari Lubnan, Mohd Ghaddar.

Penyerang import pasukan lawan, Jean Emmanuel Effa Owona, hampir meletakkan Negeri Sembilan di depan pada minit kesembilan menerusi tandukan, namun pemain pertahanan Kelantan Azizi Matt Rose menyelamatkan keadaan dengan menanduk keluar bola yang berpunca dari sepakan sudut.

Serangan bertali arus skuad Kelantan bimbingan jurulatih Peter James Butler akhirnya membuahkan hasil apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-20.

Gol itu berpunca daripada Muhamad Ghaddar yang bijak mencari peluang melorongkan bola kepada Norshahrul Idlan Talaha sebelum memperdaya dua pemain lawan dan melepaskan rembatan di depan gawang menewaskan Farizal Marlias.

Bagaimanapun, kegembiraan Kelantan tidak kekal lama apabila skuad Hoben Jang Hoben menyamakan kedudukan selang 10 minit kemudian hasil sepakan mengelirukan oleh Jean Emmanuel yang mengenai pemain pertahanan Kelantan Mohd Farisham Ismail sebelum masuk ke dalam gawang lawan.

Perlawanan kembali seimbang apabila kedua-dua pasukan saling mengatur serangan demi serangan untuk menambah gol, namun kekentalan barisan pertahanan masing-masing mengagalkan usaha tersebut.

Aksi tambah menarik pada babak seterusnya apabila kedua-dua pasukan saling membalas asakan untuk mencari gol kemenangan.


Jean Emmanuel kemudian menambah derita Kelantan pada minit ke-63 apabila melonjak tinggi melepasi pertahanan pasukan itu sebelum melakukan tandukan mengelirukan untuk menewaskan Khairul Fahmi selepas menerima hantaran Tengku Qayyum Ubaidillah.

Kelantan cuba bangkit mencari gol penyamaan namun benteng pertahanan skuad Rusa kental bertahan hingga tiupan wisel penamat oleh pengadil perlawanan Shokri Nor.

Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan menyampaikan Piala Sultan Ahmad Shah kepada Negeri Sembilan.

Turut hadir Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan. BERNAMA

No comments: